KUCHING: Seramai 138 pemain dari 20 negara akan berentap untuk merebut gelaran juara di Kejohanan Tenis Remaja Dunia J300 Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Edisi Ke-42 (1) ITF 2025, yang akan berlangsung dari 20 hingga 27 April ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan bahawa daripada jumlah tersebut, 73 pemain akan beraksi dalam kategori lelaki dan 65 pemain dalam kategori wanita.
Menurut Datuk Sri Abdul Karim, Jepun menghantar jumlah pemain terbanyak, iaitu 26 orang, terdiri daripada 14 lelaki dan 12 wanita. Negara-negara lain yang turut menyertai termasuk Australia (21 pemain), India (20 pemain), China (16 pemain), Rusia dan Korea (masing-masing 8 pemain), Thailand (6 pemain), Malaysia dan Indonesia (5 pemain), serta Amerika Syarikat (4 pemain). Kazakhstan dan Turki menghantar 3 pemain, manakala Singapura, Filipina, dan Taiwan masing-masing menghantar 2 pemain. Kanada, Perancis, New Zealand, dan Afrika Selatan masing-masing mempertaruhkan seorang pemain.
“Ini adalah kejohanan untuk peringkat umur bawah 18 tahun yang menghimpunkan ramai pemain remaja terbaik dunia. Kejohanan ini juga merupakan salah satu cabang kejohanan di bawah Grand Slam dan gred A,” ujar Datuk Sri Abdul Karim.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya sebentar tadi. Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Frederick, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Dato Patrick Liew, dan barisan exco badan induk berkenaan.
Kejohanan ini akan berlangsung di gelanggang tenis SLTA.





