KUCHING: Sebanyak 14,000 tan makanan diselamatkan di seluruh Malaysia, menerusi program MySaveFood sepanjang bulan Ramadan ini.
Timbalan Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata selain itu, 15,000 kilogram pelepasan rumah hijau turut berjaya diselamatkan setakat ini.
“Di Bazar Ramadan Stutong, 199 kg makanan berjaya diselamatkan, manakala Bazar Ramadan Kota Samarahan, sejumlah 292.6 kg makanan diselamatkan. Manakala bazar Metrocity pula sebanyak 16.95 kg
. “Di bazar ini (Metrocity), jumlah makanan yang diselamatkan agak sedikit.
Kami mendapati gerai-gerai di sini tutup agak lambat berbanding bazar yang lain.
“Jadi, apabila pelajar datang sebelum waktu berbuka, gerai di sini masih buka.
Jadi mungkin para pelajar dapat membuat penggiliran untuk menunggu gerai ditutup bagi mengelakkan pembaziran makanan di bazar daripada berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Program MySaveFood Sempena BRR Wilayah Sarawak di Bazar Ramadan Metrocity, di sini.
Selain itu, beliau juga berhasrat meneruskan program itu selepas Hari Raya Aidilfitri dan berharap ia dapat menjadi antara beberapa pasar malam pertama yang melaksanakan program penjimatan makanan.
“Kami merancang untuk mengembangkan inisiatif ini ke pasar malam di seluruh negara bergantung kepada kejayaan program ini,” katanya.






