KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 15 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di negeri ini sebanyak 288 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata daripada 15 kes tersebut, 14 kes dirawat di Hospital
Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dirawat di Hospital Miri.
Selain itu, katanya sebanyak 92 kes baharu Individu Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,797 kes.
“Daripada jumlah itu, 1,409 kes adalah negatif dan 100 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Bagi kes PUI di Kuching, Karim yang juga timbalan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebanyak 41 kes telah disaring di mana lapan kes telah disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 33 kes telah disaring di HUS.
Beliau berkata statistik kes PUI baharu mengikut daerah merangkumi Kuching (41), Betong (14), Serian (13), Miri (11), Samarahan (5), Bintulu (5), Asajaya (1), Saratok (1) dan Tebedu (1).






