ARTIKEL

Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)

15 Projek Tebatan Banjir Sarawak Kini Dalam Perlaksanaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang melaksanakan 15 projek tebatan banjir di seluruh Sarawak melibatkan kos keseluruhan RM3.39 bilion.

PETRA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, projek yang bertujuan memperkukuh langkah mitigasi banjir secara menyeluruh dan berfasa itu dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta RMK-13 penggal pertama.

“Daripada jumlah tersebut, lima projek berada pada peringkat prapelaksanaan, tiga projek sedang dilaksanakan manakala tujuh lagi telah siap sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyatakan bahawa sebanyak 453 kerja pemuliharaan sungai di bawah RMK-12 telah berjaya disiapkan dengan kos RM50.9 juta, melibatkan usaha meningkatkan kapasiti aliran sungai serta menstabilkan tebing bagi mengurangkan risiko banjir.

“Selain itu, sebanyak 548 projek kecemasan luar jangka turut dilaksanakan dengan kos RM45.3 juta bagi menangani kerosakan infrastruktur sungai serta mengurangkan risiko banjir secara segera di kawasan terjejas.

“Bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM50 juta di bawah RMK-13 untuk melaksanakan kerja kecil pemuliharaan sungai di Sarawak.

“Antara skop kerja terlibat termasuk pengaluran sungai, pembaikan tebing runtuh serta menaik taraf aset berkaitan bagi memastikan sistem saliran dan sungai berfungsi dengan lebih cekap,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai kejadian banjir yang dilaporkan pada 10 Mac lalu di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching dan Lundu, PETRA berkata, kejadian tersebut berpunca daripada hujan lebat yang signifikan.

“Beberapa kawasan yang dikenal pasti terjejas termasuk lokasi yang kerap dilanda banjir seperti Kampung Sebat Melayu, Kampung Segong dan Kampung Sileng Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, PETRA menegaskan bahawa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan serta kesejahteraan rakyat, pihaknya bersama Kerajaan Sarawak terus komited meningkatkan keupayaan pengurusan banjir.

“Ini khususnya melalui pelaksanaan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU