ARTIKEL

KUIH penyaram hasil air tangan Bitara Srikandi semasa Program Niti Daun sempena Hari Gawai Dayak 2026 Peringkat Daerah Mukah. |Foto NUR FARIHAN RAZALI

16 kilogram adunan hasilkan penyaram

NUR FARIHAN RAZALI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Kuih penyaram, sejenis kuih tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat di Sarawak, dipilih sebagai hidangan utama dalam aktiviti komuniti ketika Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Mukah.

Dikenali dengan bentuknya yang bulat serta rasa manis unik, penyaram bukan sahaja menjadi sajian kegemaran masyarakat pelbagai kaum, malah turut mencerminkan kekayaan warisan kulinari negeri ini yang terus dipelihara dari generasi ke generasi.

Bagi menjayakan aktiviti tersebut, kumpulan Bitara Srikandi berganding bahu menghasilkan kuih penyaram secara gotong-royong sebagai simbol kerjasama dan semangat perpaduan dalam komuniti.

Menurut ketuanya, Jaidah Bujang, pemilihan kuih penyaram dibuat selepas cadangan awal untuk menghasilkan anyaman manik tidak dapat direalisasikan berikutan kekangan masa.

“Pada mulanya kami bercadang untuk menampilkan hasil anyaman manik sempena Niti Daun, namun disebabkan masa yang terhad, kami sepakat memilih untuk menyediakan kuih penyaram.

“Walaupun idea ini baharu, kami mempunyai pengalaman dalam melaksanakan pelbagai aktiviti komuniti sebelum ini, justeru persiapan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak. 

Sehubungan itu, sebanyak 16 kilogram adunan disediakan bagi menghasilkan kuih penyaram untuk para pengunjung yang hadir memeriahkan acara tersebut.

Dedahnya, seramai 15 tukang masak terlibat dalam proses penyediaan kuih berkenaan dan semua ahli kumpulan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang aktiviti dijalankan.

“Kerjasama yang ditunjukkan amat menggalakkan. Alhamdulillah, semua memberi komitmen yang baik, saling membantu dan mematuhi arahan yang diberikan.

“Tiada sikap memilih kasih dalam kalangan ahli. Semangat toleransi dan persefahaman antara satu sama lain menjadi faktor utama yang memastikan segala urusan berjalan lancar,” katanya lagi.

Jaidah turut berkongsi, adunan kuih disediakan sehari lebih awal bagi memastikan hasil yang diperoleh lebih sempurna.

Jelasnya, adunan yang diperam semalaman memberikan hasil yang lebih baik. 

“Apabila adunan semakin kembang, bentuk dan tekstur kuih yang dihasilkan juga menjadi lebih cantik,” dedahnya. 

Selain itu, beliau berkongsi, segala persiapan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat kerana kebanyakan ahli sudah berpengalaman dalam penyediaan kuih tradisional tersebut.

“Perbincangan yang baik memudahkan urusan. Masing-masing tahu tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan.

“Alhamdulillah, walaupun terdapat cabaran sepanjang proses penyediaan, ia berjaya diatasi dengan baik hasil kerjasama semua pihak,” jelasnya. 

Dalam pada itu, sambutan yang diterima daripada orang ramai juga amat memberangsangkan apabila semua kuih penyaram yang disediakan mendapat maklum balas positif daripada pengunjung.

Malah, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib yang hadir ke acara tersebut turut meluangkan masa untuk menikmati kuih penyaram yang disediakan.

“Beliau menyatakan rasa puas hati dan memuji hasil penyaram yang kami sediakan. 

“Pengunjung lain juga memberikan maklum balas yang sangat baik selepas merasainya,” katanya.

Selain menyediakan kuih penyaram, kumpulan tersebut turut menghias dan menyusun hidangan di atas daun yang telah disediakan lebih awal sebelum ketibaan pengunjung.

Tambahnya, kejayaan program itu menjadi pemangkin semangat kepada mereka untuk terus aktif menyertai aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang.

“Harapan kami adalah untuk terus terlibat dalam program seperti ini. 

“Selain menyediakan kuih tradisional, kami juga berharap dapat mengetengahkan hasil anyaman manik pada masa hadapan.

“Insya-Allah, kami akan terus aktif menyokong dan menyertai pelbagai program komuniti demi memelihara warisan budaya serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” tambahnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU