KUCHING: Sebanyak 16 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak bakal mencipta sejarah apabila berentap dalam edisi sulung Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, dari 14 hingga 18 Ogos ini.
Menurut satu kenyataan, pertandingan itu bukan sekadar menguji kepetahan berhujah, malah medan mengasah pemikiran kritis, kepimpinan serta keupayaan mahasiswa menyampaikan idea dan pandangan secara berkesan.
“Antara institusi yang bakal merebut gelaran sulung itu ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti ICATS, UiTM Cawangan Sarawak dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.
“Turut mengambil bahagian ialah Universiti Curtin Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, IPG Kampus Rajang dan IPG Kampus Batu Lintang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan memaklumkan penganjuran julung kali kejohanan itu turut mendapat sokongan sektor korporat menerusi penglibatan Bintulu Port Holdings Berhad sebagai Rakan Sokongan Platinum, manakala SACOFA Sdn. Bhd. dan Press Metal sebagai Rakan Sokongan Emas.
“Turut menyokong kejohanan ini ialah Kupi-Kupi FM dan Cats FM sebagai Rakan Radio Rasmi, Sarawak Edition sebagai Rakan Media Sosial Rasmi serta PETRONAS sebagai Rakan Tajaan Barangan Rasmi.
“Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai aktiviti akan diadakan sebelum kemuncaknya menyaksikan perlawanan akhir pada 18 Ogos di Dewan Jubli, UiTM Kampus Samarahan 1 bagi menentukan juara sulung Piala Cabaran Debat Premier Sarawak 2026,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, gelaran juara sulung kejohanan berkenaan dijangka menjadi rebutan setiap pasukan yang membawa aspirasi institusi masing-masing untuk mencipta nama di pentas debat negeri.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan aksi pendebat terbaik dari universiti di seluruh Sarawak, di samping menikmati pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang kejohanan berlangsung.





