KUCHING: Sebanyak 16 projek bernilai RM928 juta dilaksanakan di bawah program Jiwa Murni, melibatkan pembinaan 461 kilometer (km) Jalan Luar Bandar Isipadu Rendah (LVRR) dan 82 jambatan bailey.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata 14 daripada projek tersebut sudah siap dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk diselenggara manakala dua lagi masih dalam tempoh liabiliti kerosakan.
“Apabila tamat tempoh tersebut, Angkatan Tentera Malaysia akan membaiki semua kerosakan sebelum diserahkan kepada JKR Sarawak.
“Dua projek tersebut adalah membina jalan dari Nanga Merit ke Sungai Baleh, Kapit, dan
membina jalan dari Belaga ke Nanga Merit, Kapit,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun, kata Uggah, kebanyakan jalan tersebut rosak akibat penyelenggaraan yang tidak teratur sehingga menimbulkan cabaran untuk mengakses perkhidmatan penting di kawasan luar bandar itu.
Justeru, beliau berkata Kerajaan Sarawak secara proaktif telah melaksanakan kerja menaik taraf jalan Jiwa Murni, menggunakan dana Kerajaan Negeri berjumlah RM226.31 juta.
Katanya, ia merangkumi penambahbaikan seperti menaik taraf jalan balak dari Long Lopeng ke Ba’Kelalan, Lawas, bernilai RM39.35 juta, dan menaik taraf jalan dan membina jambatan di Kampung Saeh, Bekenu, Miri bernilai RM24.92 juta.
Selain itu, kerja menaik taraf juga akan dilakukan ke atas Jalan Rumah Satu, Kuala Mendalam, Batu Danau, Limbang bernilai RM3.0 juta, jalan dari Miri ke Marudi, Miri bernilai RM75.46 juta dan jalan dari Pekan Belaga ke Menjawah, Belaga bernilai RM83.58 juta.
“Inisiatif ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk menambah baik akses ke kawasan luar bandar dan memastikan jalan-jalan ini memenuhi piawaian JKR,” katanya.
Di samping itu, Uggah berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM84.05 juta untuk menambah baik empat pakej jalan Jiwa Murni, dan hingga kini, keempat-empat pakej itu sedang dalam pembinaan.



