KUCHING: Sebanyak 16 Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) berdaftar masih beroperasi di Sarawak untuk menyediakan akses pendidikan asas (sekolah rendah) bagi anak-anak pekerja ladang Indonesia yang menetap di Malaysia.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kesemua institusi pendidikan itu setakat Khamis (19 September) mempunyai 890 pelajar dan 49 guru.
“Hingga kini, terdapat 16 CLC yang berdaftar melibatkan 890 pelajar dan 49 guru yang dibiayai oleh Kerajaan Indonesia dan pengendali ladang di Sarawak,” katanya.
Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Resepsi Diplomatik bagi meraikan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-79 di Hotel Waterfront pada Khamis.
Tegas Fatimah, ia merupakan salah satu kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia untuk memastikan anak-anak pekerja ladang Indonesia berusia tujuh hingga 12 tahun yang menetap di Sarawak tidak ketinggalan daripada mendapatkan akses pendidikan.
Katanya, kerjasama itu telah lama terjalin selepas Kerajaan Indonesia memohon penubuhan CLC memandangkan bilangan pekerja dan anak-anak Indonesia semakin meningkat.
Maka pada 2016, CLC ditubuhkan di Sarawak selepas mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Kerajaan Malaysia.
Fatimah, yang hadir selaku wakil kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia merupakan lambang persaudaraan, persefahaman dan kerjasama erat yang telah bertahan selama beberapa dekad.
Justeru katanya, generasi kini merupakan generasi penerus yang harus mempertahankan hubungan baik menerusi ikatan yang dibina atas rasa hormat, kerjasama dan nilai-nilai rumpun yang sama.
Sementara itu, beliau mengesahkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) akan melaksanakan lawatan penanda aras ke industri kecil dan sederhana yang berjaya di Jakarta dan Bandung, Indonesia dari 23 hingga 27 Jun 2025.
Tegasnya, lawatan itu bertujuan membantu JKWS merangka strategi untuk mendayaupayakan wanita di Sarawak, di samping memupuk usahawan wanita yang lebih kompetitif dan lestari.
Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Henry Harry Jinep dan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.



