ARTIKEL

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

169 menara SMART sudah berfungsi di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 169 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah berfungsi, seterusnya menyediakan perkhidmatan secara Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G di Sarawak setakat 22 Mac lepas, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa peringkat peruntukan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat komunikasi. 

“Untuk tahun pertama (2024), MCMC akan membelanjakan RM42.9 juta, manakala syarikat telekomunikasi pula membelanjakan RM29.1 juta, diikuti tahun kedua di mana MOF akan mengeluarkan dana RM38.2 juta, sementara syarikat telekomunikasi RM29.1.

“Pada tahun ketiga, MOF akan memperuntukkan RM38.2 juta, dan syarikat telekomunikasi RM29.1 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM206.78 juta yang akan dibelanjakan oleh MCMC, MOF dan syarikat komunikasi untuk menjayakan dan memastikan 600 menara yang dibina oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Edwin Banta (GPS-Selangau) dalam sesi soal jawab sebelum itu berhubung pelan tindakan alternatif untuk meningkatkan akses jalur lebar agar dapat sampai ke kawasan luar bandar di Sarawak.
 
Fahmi berkata pelaksanaan SMART600 atau ‘naked tower’ di negeri Sarawak berdepan masalah yang berlarutan selama ini kerana tidak mempunyai alat pemancar atau radio.

Bagaimanapun, katanya, pada Oktober lepas, beliau telah mengumumkan bahawa MCMC dan MOF bersetuju untuk menyediakan dana secara tahunan bersama syarikat telekomunikasi bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Selain itu, 244 menara telah siap dan sedia untuk dimasuki syarikat telco, dan ada 53 menara mempunyai Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 297 yang sedia dimanfaatkan sekarang.

“Sementara itu, masih ada 44 menara dalam pembinaan, 59 dalam proses perpindahan lokasi baharu, 31 menara yang bertindih dan bakinya masih dalam pengurusan SMA dan MCMC,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rampa menua meruan beresi

Aum Parti-Parti (COP) Konvensyen Langkar Pengawa Ubah Klimet Gerempung Bansa Beserakup (UNFCC) ngempuru bemacham raban pemegai taruh antarabansa ari dunya dagang, perintah enggau komuniti sivil.