17 cedera dirempuh trak curi di Jerman

LIMBURG: Pemandu sebuah trak yang dicuri merempuh beberapa buah kereta di bandar Limburg, Jerman menyebabkan 17 mangsa cedera, kata polis pada Selasa, dan menambah pemandu terbabit sudah ditahan.

Polis berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang motif kejadian itu, yang bermula apabila seorang lelaki merampas trak tersebut pada 5:20 petang, Isnin.

“Pada masa ini, kami tidak mempunyai maklumat mencukupi berkenaan motif di sebalik kejadian itu,” kata polis.

Dalam pada itu, pemandu lori putih terbabit merempuh kira-kira sembilan kereta yang menunggu di lampu isyarat jalan bertentangan dengan bangunan mahkamah di barat negeri Hesse.

Agensi berita Jerman DPA, memetik polis daerah, melaporkan 17 cedera termasuk pemandu, seorang dalam keadaan kritikal.

Menurut polis, beberapa mangsa cedera ringan dirawat di hospital, dan pemandu yang kini dalam tahanan cedera ringan, menurut polis dalam satu kenyataan.

“Siasatan masih diteruskan termasuk menyoal saksi dan mengumpul bukti,” kata polis.-AFP

Suara Sarawak