KUCHING: Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tempoh matang DUN Sarawak adalah pada Februari, sedangkan proses persempadanan semula masih perlu melalui beberapa peringkat sebelum syor dimuktamadkan dan dibawa ke Parlimen.

“Berdasarkan kepada proses kerja yang kita perlu lalui, saya tidak menjangka kita sempat gunakan kajian persempadanan ini untuk pilihan raya DUN yang akan datang. Tak sempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan pameran kajian persempadanan semula DUN Sarawak di pekarangan ruang legar (lobi) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini, hari ini.
Jelasnya, pameran berkenaan berlangsung dari 1 hingga 30 September, sebelum SPR menilai semua representasi yang diterima daripada rakyat.
Beliau berkata, proses pendengaran dijangka dilaksanakan pada Oktober, manakala proses seterusnya diteruskan sebelum syor berkenaan dibawa ke Parlimen.
Katanya, tempoh penyelesaian bagaimanapun bergantung kepada bentuk bantahan atau pandangan yang diterima kerana sesetengah perkara mungkin memerlukan penelitian lebih terperinci.
“Kalau tidak ada bantahan, atau bantahan yang kita terima berbentuk mudah yang boleh kita selesaikan segera, Insya-Allah kita boleh selesaikan segera.
“Tetapi kalau bantahan yang kita terima itu memerlukan kajian yang lebih terperinci, kami perlukan sedikit masa untuk menilai,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menggesa masyarakat menggunakan tempoh pameran yang masih berbaki untuk mengemukakan pandangan, sama ada dalam bentuk bantahan atau sokongan ke atas cadangan persempadanan berkenaan.
Pada Julai tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang bagi menambah 17 kerusi baharu DUN, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99, tertakluk kepada proses persempadanan semula oleh SPR.



