KUCHING: Penambahan 17 kerusi parlimen bagi Sarawak yang telah diluluskan tahun lalu kini sedang berada dalam proses penelitian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya sedia maklum mengenai desakan tersebut dan berharap agar proses berkenaan dipercepatkan sebelum diangkat ke Parlimen.

“Saya tidak mahu komen banyak, tetapi saya fikir itulah prosesnya (sebelum dibawa ke Parlimen),” katanya ketika ditemui media selepas majlis ramah mesra bersama pengamal media di YS Cafe, di sini, hari ini.
Status 17 kerusi parlimen tambahan bagi Sarawak masih belum dibentangkan di peringkat Dewan Rakyat walaupun sudah diluluskan di peringkat negeri.
Mustapha memaklumkan bahawa kerajaan menghargai suara-suara terutama dari ahli-ahli parlimen Borneo serta senator yang banyak membangkitkan isu penambahan parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Pandangan saya memang wajar untuk kita angkat isu ini sebab kita juga mahu supaya ada penambahan kerusi-kerusi parlimen di Sabah dan juga Sarawak.
“Ini penting kerana bila kita dapat penambahan kerusi parlimen, kita akan lebih fokus untuk menjaga khidmat dan kebajikan kepada rakyat ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa faktor kepadatan penduduk di beberapa kawasan di Semenanjung juga mungkin menjadi sebahagian daripada perkiraan pihak berkuasa dalam penelitian tersebut.
“Di Semenanjung pun ada beberapa kawasan yang penduduknya sangat padat, malah ada parlimen yang mencecah sehingga 300,000 pengundi. Jadi itu pun mungkin dalam penelitian lah.
“Penambahan kerusi di Sabah dan Sarawak penting kerana faktor kawasan yang luas dapat dikecilkan membolehkan fokus kebajikan rakyat dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas,” jelas beliau lagi.
Tuntutan penambahan kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan hak satu pertiga kerusi bagi wilayah Borneo seperti yang termaktub dalam semangat pembentukan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).



