KUCHING: Sebanyak 18 nyawa dilaporkan hilang setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia, angka yang disifatkan amat membimbangkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, berdasarkan angka berkenaan, bermakna hampir seorang pengguna jalan raya kehilangan nyawa setiap jam akibat kemalangan.
“Jadi, kita menuntut usaha berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kursus Peluasan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) dan Pelaporan Data Kemalangan Jalan Raya Mengikut Piawaian PDRM K27 dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Nanta berkata penggunaan data kemalangan yang tepat dan sistematik penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi berisiko serta merancang intervensi keselamatan yang bersesuaian.
Menjelaskan penggunaan istilah dalam RAMS, beliau berkata kawasan panas merujuk kepada lokasi yang kerap berlaku kemalangan atau mempunyai kemungkinan tinggi sesuatu kejadian berlaku, manakala kawasan hitam membawa konotasi lebih serius berkaitan kemalangan, kecederaan dan kematian.
Katanya, pengelasan sesuatu lokasi sebagai kawasan hitam bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan kriteria dan asas saintifik melalui analisis data kemalangan.
Nanta berkata pendekatan berasaskan data itu penting bagi memastikan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dapat dilaksanakan secara lebih tepat, khususnya di lokasi yang mempunyai risiko kemalangan tinggi.



