Penyiasat periksa data Sriwijaya Air

JAKARTA: Penyiasat Indonesia berjaya mendapatkan data daripada perakam penerbangan Sriwijaya Air Boeing 737-500 yang terhempas, beberapa hari setelah pesawat dengan 62 orang itu terhempas ke laut, kata mereka pada Jumaat.
“(Semua) berada dalam keadaan baik dan sekarang kami memeriksa data,” kata Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional, Soerjanto Tjahjono dalam satu kenyataan.
Alat perakam, yang menyimpan maklumat kelajuan, ketinggian dan arah pesawat, dapat memberikan petunjuk penting punca pesawat itu terjunam dari ketinggian 3,000 meter dalam masa kurang satu minit sebelum terhempas di perairan di luar Jakarta pada Sabtu.
Pasukan penyelamat berhampiran pantai ibu kota bekerja beberapa hari untuk mengumpul mayat mangsa dan bangkai pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 itu, serta dua perakam penerbangan. L
ebih 3,000 orang mengambil bahagian dalam misi pencarian, dibantu oleh puluhan kapal dan helikopter. Pada Selasa, penyelam membawa perakam data ke permukaan, dengan pencarian sekarang fokus mencari perakam suara kokpit di dasar laut yang penuh dengan serpihan pesawat.
Pihak berkuasa mengatakan kru tidak memaklumkan kecemasan atau melaporkan masalah teknikal pada pesawat sebelum ia terjunam, dan kemungkinan ia masih dalam keadaan utuh ketika terhempas di perairan – menyebut serpihan bangkai pesawat itu tersebar di kawasan agak kecil.
Siasatan nahas udara itu mungkin memakan masa berbulan-bulan, tetapi laporan awal dijangka dalam 30 hari. Sektor penerbangan Indonesia yang berkembang pesat telah lama dilanda masalah keselamatan, dan syarikat penerbangannya pernah dilarang dari ruang udara AS dan Eropah.
Pada Oktober 2018, seramai 189 orang terbunuh apabila jet Lion Air Boeing 737 MAX terhempas berhampiran Jakarta.
Kemalangan itu dan yang lain di Ethiopia, menyebabkan pesawat jenis 737 MAX digantung operasi di seluruh dunia. Pesawat 737 yang terhempas pada Sabtu merupakan pesawat pertama dihasilkan oleh Boeing dan ia bukan jenis MAX yang terhempas di Ethiopia. – AFP

Suara Sarawak