Tiga calon untuk pemilihan presiden kali ini membabitkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto; bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
SUSUN ATUR PILIHAN RAYA
Pilihan raya dikawal oleh Undang-undang No. 7 Tahun 2017, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) merupakan badan kerajaan yang bertanggungjawab mengatur pilihan raya.
Badan Pengawas Pilihan Raya Umum (Bawaslu) memainkan peranan penting dalam memantau undi dan mempunyai kuasa untuk menangani pelanggaran peraturan pilihan raya, seperti kesilapan pentadbiran dan pembelian undi.
Manakala, sebarang pelanggaran etika yang dilakukan oleh Bawaslu atau KPU tertakluk kepada pengendalian oleh Dewan Kehormat Penganjur Pilihan Raya (DKPP) yang terdiri daripada seorang ahli setiap badan dan lima yang lain disyorkan kerajaan.
Dalam pada itu, pengundi diberi sama ada empat atau lima kertas undi, bergantung kepada lokasi mengundi dan domisil mereka — kertas undi ini merangkumi pelbagai aspek pilihan raya.
Sebagai langkah pencegahan penipuan pengundi, mereka diarahkan mencelupkan jari ke dalam dakwat.
Proses ini bagi memastikan integriti dan ketelusan pilihan raya. Pemilu 2024 diramal menjadi pentas bagi generasi Z dan milenial berdasarkan data Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang menunjukkan 55 peratus pengundi ialah golongan muda.
Justeru, generasi berusia 20 hingga 44 tahun dijangka mendominasi suara pengundi pada pemilihan kali ini.
Sementara itu, kanak-kanak dilarang mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti politik, termasuk kempen pilihan raya.
Calon yang bertanding termasuk calon presiden (capres) perlu menyesuaikan strategi kempen mereka.
Menurut kebenaran yang termaktub untuk semua peserta termasuk calon presiden dan calon legislatif, semua calon Pemilu dibenarkan memiliki maksimum 20 akaun media sosial bagi tujuan kempen.
Perkara itu dimaklumkan berdasarkan Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Nombor 15 tahun 2023 yang menyatakan semua calon Pemilu boleh menggunakan media sosial untuk berkempen.
Dalam pada itu, semua bahan kandungan termasuk visi, misi dan program perlulah berkaitan Pemilu dan dilarang sama sekali mempunyai agenda lain yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat.
DAFTAR AKAUN MEDIA SOSIAL UNTUK BERKEMPEN
Bahan kandungan pula boleh dimuat naik dalam bentuk tulisan, suara, imej dan gabungan kesemuanya.
Selain itu, semua calon Pemilu perlu mendaftarkan akaun media sosial yang digunakan bagi berkempen kepada KPU dengan paling lambat didaftarkan tiga hari sebelum musim kempen bermula.
Selepas kempen berakhir, semua akaun media sosial berkenaan ditutup. Kempen Pemilu 2024 dijadualkan bermula pada 28 November 2023 sehingga 10 Februari lalu.
Secara keseluruhan, lebih 20,000 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya perundangan Indonesia menerusi beberapa peringkat melibatkan kebangsaan, daerah (provinsi) dan kota (kabupaten).



