BINTULU: Sebanyak 20 unit mesin jet air telah diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Jepak dan sekitarnya di Bintulu dalam usaha memperkukuh persediaan komuniti kampung untuk menangani kecemasan serta meningkatkan tahap kebersihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sumbangan mesin jet air ini merupakan antara inisiatif yang diambil bagi memperkasakan komuniti luar bandar selari dengan dasar kerajaan negeri yang memberikan penekanan terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan adanya peralatan seperti ini, saya berharap para ketua kaum dapat menggunakannya secara optimum untuk manfaat bersama penduduk kampung,” katanya ketika hadir pada majlis penyerahan peralatan berkenaan di Pejabat Daerah Bintulu, semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata mesin tersebut berguna untuk kerja pembersihan di kawasan awam.
“Mesin ini dapat membantu komuniti setempat untuk membersihkan kawasan seperti longkang dan kemudahan kampung.”
“Ini juga amat membantu dalam situasi kecemasan seperti memadamkan kebakaran kecil sebelum bantuan tiba,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iskandar turut menegaskan bahawa JKKK memainkan peranan penting dalam memastikan setiap aset yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya dan dijaga dengan penuh tanggungjawab.
“Saya berharap agar satu sistem penyelenggaraan berkala dapat diwujudkan di setiap kampung.”
“Dengan adanya sistem penyelenggaraan ini, ia dapat memastikan peralatan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan serta Pemanca Awang Merais Awang Ismail.



