BALAI RINGIN: Sebanyak 20 papan paparan interaktif diedarkan di sekolah-sekolah di kawasan Balai Ringin.
ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan digital dan merapatkan jurang teknologi antara sekolah luar bandar dengan bandar.
“Bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan yang lebih interaktif dan berasaskan teknologi, sekolah luar bandar juga harus mempunyai akses kepada kemudahan teknologi yang setanding dengan sekolah di bandar,” katanya.
Snowdan berucap pada majlis penyerahan inisiatif tersebut di DEPO Balai Ringin pada Rabu lepas.

Beliau berkata sebelum ini beberapa sekolah di kawasan itu juga menerima televisyen pintar untuk digunakan di dalam bilik darjah bagi menyokong program pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Sementara itu, beliau berkata SK Pantu dipilih sebagai tempat untuk program robotik bagi memberi kesedaran awal kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata program itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai peranti robotik dan boleh digunakan oleh sekolah berdekatan untuk meluaskan akses kepada pendidikan berasaskan teknologi.
“SMK Balai Ringin juga akan menerima bilik teknologi maklumat (IT) yang dilengkapi dengan komputer dan peralatan berkaitan untuk menggalakkan pembelajaran digital dalam kalangan pelajar,” katanya.
Snowdan berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM10 juta setiap tahun di bawah inisiatif industri kreatif untuk menyokong pelajar dalam pembangunan bakat dan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata dana tersebut boleh digunakan untuk menganjurkan kursus dan program latihan dengan melibatkan guru profesional dalam bidang seperti animasi, grafik komputer, media digital, penerbitan televisyen dan radio.



