KUCHING: Sejumlah 20 titik panas dikesan di Sarawak setakat 5 September lepas selain Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian dan Kuching merekodkan bacaan tidak sihat, hari ini.
Menurut kenyataan media Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan tren bacaan IPU yang meningkat sejak 1 September 2024.
“Sementara itu, Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) juga melaporkan sejumlah 1,825 titik panas juta dikesan di Kalimantan bagi tempoh 1 hingga 5 September lalu,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, memandangkan negara berada dalam fasa Monsun Barat Daya bermula pada 17 Mei 2024 dan dijangkakan berakhir pada September 2024, rantau negara akan menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di Sarawak.
Pelbagai langkah telah diambil oleh NREB termasuk mengaktifkan bilik operasi jerebu, rondaan lapangan, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terkawal serta notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.
NREB juga mengadakan program kesedaran larangan pembakaran terbuka bersama agensi-agensi lain bagi memastikan kualiti udara terjaga.
Namun begitu, semua agensi kerajaan berkaitan serta orang ramai juga disarankan bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk menangani punca serta mengurangkan risiko jerebu.
“Orang ramai juga disarankan untuk minum air dengan secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng muka pernafasan bagi mereka yang melakukan aktiviti luar terutamanya golongan berisiko tinggi,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, NREB turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran udara terutamanya pada musim panas.
Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (Pindaan 2019).
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda, tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang awam juga diminta untuk bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka ke Pejabat NREB berdekatan.
“Kerahsiaan laporan adalah juga dijamin di bawah Seksyen 38 Perlindungan Pemberi Maklumat, Ordinan yang sama,” tambah kenyataan itu.
Di samping itu, hampir 800 titik panas dikesan di Kalimantan Barat, Indonesia sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan jerebu melanda di beberapa kawasan di bandar ini.
Semakan mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi Kuching setakat jam 3 petang tadi tidak sihat iaitu 115 manakala Serian mempunyai bacaan IPU tertinggi di negara ini iaitu 152.
Bacaan lain dikeluarkan di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di kawasan lain di Sarawak kekal sederhana.
Bacaan IPU 51 hingga 100 dianggap sederhana, manakala bacaan IPU 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.



