ARTIKEL

Bot yang berjaya ditahan oleh pihak APMM pada 30 Jun lalu di Tanjung Lobang.

21 nelayan Vietnam didenda RM3 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Mahkamah Sesyen Miri semalam menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3 juta terhadap 21 nelayan warga Vietnam atas kesalahan menceroboh perairan negara.

Keputusan itu dibuat oleh hakim Azreena Aziz selepas dua pertuduhan dibacakan kepada kesemua tertuduh berusia antara 22 hingga 55 tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Dalam pertuduhan pertama, Hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000 atau penjara selama enam bulan kepada tekong dan denda sebanyak RM100,000 atau penjara selama empat bulan kepada 18 awak-awak bagi vesel penangkapan ikan asing yang ditahan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kru yang turut ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara.

Manakala pertuduhan kedua pula, tekong didenda sebanyak RM500,000 atau penjara selama enam bulan dan seorang awak-awak didenda sebanyak RM200,000 atau penjara selama empat bulan bagi vesel penangkapan ikan asing yang turut ditahan pihak APMM.

Mahkamah turut memerintahkan hasil lelongan minyak diesel dan tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menceroboh perairan negara pada jarak 70 batu nautika dari barat laut Tanjung Lobang, Miri pada 2 petang dan 5.40 petang, 30 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Yong Ann Nee, manakala semua tertuduh diwakili peguam Ranbir S Sangha.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU