ARTIKEL

MOHAMAD DURI

21 pasukan berentap di Sungai Krian sempena Regata Kalaka 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Sebanyak 21 pasukan lumba perahu akan berentap di Sungai Krian sempena penganjuran Regata Kalaka Pesta Saratok Edisi 2025 yang berlangsung selama tiga hari hujung minggu ini.

Penyertaan kali ini mencatat peningkatan berbanding edisi terdahulu.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada pasukan Todak Berjaya, juara berturut-turut gelaran Raja Sungai Krian pada tahun 2023 dan 2024.

Bagaimanapun, beberapa pasukan berpengalaman yang pernah bergelar Raja Sungai dalam perlumbaan lain juga dijangka memberi saingan sengit.

LOGO RASMI… Regata Kalaka Edisi 2025 bertemakan “Muafakat Membawa Berkat”.

Burung Garuda, juara Raja Sungai Benak Batang Lupar Edisi 2023 dan Cahaya Helang Tasik, pemenang edisi 2022 antara pasukan yang tidak boleh dipandang enteng.

Tidak ketinggalan pasukan hebat lain seperti D.N.C./Lanun Dinara CUT, GP Binladen KT500 dan LANDAS Azam Kasihnya Warisan.

Secara keseluruhan, antara pasukan yang turut serta termasuklah Cahaya Puteri Krian N.39, CK Team, Gerak Kilat, Kupang.com, Maradona, Pancaran Sinar Pelangi, Putera Todak, RB Lang Ganas, Sangga Buana Kampung Kupang, Seri Murni, Serigala Sakti, Sinaran Baru Kampung Kaba, Tra Saribas, Waris Temudok Baru dan Warisan Seri Sarawak Kebayan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, penyertaan pasukan dari dalam dan luar Saratok membuktikan acara ikonik ini wajar dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

“Saya ucapkan selamat datang ke Saratok, pekan Ikan Labang. Selamat berjuang untuk mencapai kemenangan yang diimpikan.

“Saya sebenarnya teruja dengan penyertaan 21 pasukan, dan kita perlu buktikan bahawa Regata Kalaka Pesta Saratok layak disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pasukan bersaing dengan semangat kesukanan tinggi dan mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan imej sukan air ini di Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Beliau turut menggesa semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kelancaran acara, termasuk penganjur dan para pengunjung.

Regata Kalaka akan bermula pada Jumaat dengan majlis bacaan doa selamat, diikuti lima acara pecut akhir pada sebelah pagi.

Acara tersebut melibatkan kategori 25 pengayuh, 20 pengayuh, 10 pengayuh, 15 pengayuh dan 30 pengayuh.

Sebelah petang pula menyaksikan perlumbaan enjin sangkut lima kuasa kuda sebelum ditutup dengan acara maraton 30 pengayuh.

Hari kedua memperlihatkan kesemua acara saringan dilangsungkan.

Manakala hari terakhir pada pagi Ahad menyaksikan perlumbaan akhir kategori Bidar 20 dan Bidar 10, diikuti Majlis Penangguhan Rasmi oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta perlumbaan akhir Bidar 25.

Sebelah petang akan berlangsung perlumbaan akhir Bidar 15 sebelum acara kemuncak perebutan gelaran Raja Sungai yang dijadual bermula pada jam 3.30 petang.

BERITA LAIN

Aidil Mahu The Cats Bangkit Di Laman Sendiri

KUCHING: Kekalahan tipis 0-1 kepada Gangwon FC di Korea Selatan tidak mematahkan keyakinan Kuching City FC untuk memburu kemenangan pertama Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2)

BERITA TERBARU

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan,