SARATOK: Pasukan lumba perahu yang berentap di Regata Kalaka tahun ini diingatkan agar terus memelihara keharmonian sukan air di samping menjunjung tinggi semangat kesukanan sejati.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata seusai majlis bacaan doa selamat pagi semalam, maka bermulalah misi 21 pasukan merebut gelaran juara.

“Pagi ini (semalam) kita membuka gelanggang dengan memohon keberkatan daripada Yang Maha Esa. Semoga dipermudahkan semua urusan sepanjang Regata Kalaka.
“Dalam pada itu, gemar untuk saya ingatkan agar kita memelihara keharmonian sukan air kerana ia warisan nenek moyang yang penuh nilai sejarah dan adat.
“Keharmonian akan memastikan ia terus disambut dengan semangat positif dan rasa hormat oleh semua peminat sukan lumba perahu,” katanya ketika ditanya seusai Majlis Bacaan Doa Selamat sempena Regata Kalaka 2025 di pentas utama hari ini.
Jelasnya, tanpa keharmonian, sukan mudah dicemari dengan sikap agresif, pertelingkahan dan sabotaj.
“Inilah yang ingin dielakkan.
Sehubungan itu, jaga semangat berpasukan serta persaingan sihat agar regata di Saratok berlangsung dalam suasana harmoni.
“Faktor seperti ini juga akan memastikan kelangsungan sukan air kekal diminati semua lapisan masyarakat, yang akan mendorong lebih banyak penyertaan dan sokongan pada masa akan datang.
“Ingat, penonton dan pasukan yang berkampung selama tiga hari ini di Saratok datang daripada pelbagai latar belakang,” ujarnya.
Mohamad turut menggesa pengunjung agar menyokong aktiviti jualan di tapak pesta.
“Dalam keterujaan menyaksikan perlumbaan, luangkan juga masa untuk menyumbang kepada program ekonomi yang diatur. Saya nampak pelbagai jenis barangan menarik yang dijual di sini,” katanya.
Mohamad pada hari pertama regata sempat menyaksikan acara pecut yang membuka tirai perlumbaan.
Untuk keputusan acara pecut Bidar 25 dimenangi oleh Landas Azam Kasihnya Warisan 1 milik Awang Zamhari Awang Mahmood.
Sementara D.N.C milik CUT menguasai acara pecut Bidar 20.
Acara pecut Bidar 10 pula dimonopoli oleh Putera Todak milik D’Prauk Cafe.
Manakala dua acara terakhir sebelah pagi iaitu acara pecut Bidar 15 dan 30 turut dikuasai Landas Azam Kasihnya Warisan 1.
Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Muhammad Dino Amid serta barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) turut hadir sama.


