BINTULU: Seramai 21 penghuni termasuk tiga kanak-kanak terselamat selepas sebuah blok kuarters pekerja yang menempatkan enam rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Merudi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, semua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki dewasa, sembilan wanita dan tiga kanak-kanak perempuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.

“Kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan. Pasukan bomba tiba mendapati kebakaran hampir padam dan hanya tinggal bara api,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan dua salur bantu mula daripada jentera FRT BBP Lopeng dengan sumber air dari tangki jentera.

Pasukan bomba turut dibantu Unit Tindak Balas Kecemasan (ERT) pihak ladang yang menggunakan pam air serta tangki tadahan bagi mengawal api daripada merebak.
Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 12.25 tengah hari sebelum kawasan terjejas disahkan selamat.
Dalam pada itu, Bilik Kawalan Marudi turut memaklumkan insiden berkenaan kepada Pegawai Penyiasatan Kebakaran Zon Miri untuk tindakan lanjut.
Seramai 12 anggota bomba dengan empat jentera bersama dua pegawai polis bantuan dari pihak ladang terbabit dalam operasi berkenaan.



