KUCHING: Seramai 21 warga Indonesia ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi penguatkuasaan di Bintulu dan Kuching yang dijalankan selama dua hari berturut-turut pada 28 dan 29 September lalu.
Jumlah itu membabitkan 16 warga Indonesia yang ditahan dalam Operasi Selera di dua premis makanan sekitar Bintulu pada 28 September manakala lima lagi ditahan di Kuching menerusi Operasi Selera dan Operasi Belanja, sehari kemudian.
Menurut hantaran Facebook JIM Sarawak, operasi di Bintulu membabitkan pemeriksaan terhadap 44 individu, terdiri daripada 16 warga asing dan 28 warganegara Malaysia.
“Sementara itu, operasi di Kuching menyaksikan 16 individu diperiksa termasuk tujuh warga asing dan sembilan warganegara Malaysia,” kata hantaran berkenaan.
Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi, tambah hantaran itu, seramai 21 warga Indonesia terdiri daripada 14 lelaki dan tujuh wanita ditahan.
Kesemua mereka, kata hantaran itu, disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
“Sebanyak lima saman saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan, masing-masing tiga dalam operasi di Bintulu dan dua di Kuching.
“Dalam pada itu, pemeriksaan di sebuah premis perniagaan di Kuching mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiada kesalahan imigresen dikesan,” tambah hantaran itu.
Menurut JIM Sarawak, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Katanya, langkah itu turut bertujuan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan kepentingan dan keselamatan negara terus terpelihara.





