KUCHING: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menghidupkan peluang memburu podium Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 apabila meraih petak ketiga dalam sesi kelayakan kedua (Q2) kelas Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Kejayaan itu membolehkan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi berusia 19 tahun berkenaan memulakan perlumbaan utama esok dari barisan hadapan, sekali gus memberi kelebihan penting untuk mencabar kelompok pendahulu di hadapan penyokong sendiri.

Hakim Danish sebelum ini mengakui semakin selesa dengan jenteranya selepas bergelut mendapatkan rentak terbaik dalam beberapa pusingan perlumbaan terdahulu.
“Perasaan saya lebih baik berbanding dua atau tiga pusingan perlumbaan sebelum ini apabila saya agak bergelut. Kini, saya berjaya mendapatkan semula tunggangan terbaik.
“Dari segi tetapan jentera, masih ada ruang untuk diperbaiki. Saya perlu melihat semula data bersama pasukan bagi mengenal pasti bahagian yang boleh ditambah baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Sepang, semalam.
Pada sesi latihan Jumaat, pelumba kelahiran Terengganu itu mencatat masa keempat terpantas, dua minit 11.573 saat, hanya 0.146 saat di belakang David Almansa dari Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang mengungguli sesi berkenaan.
Keputusan itu membolehkannya layak secara automatik ke Q2 tanpa perlu mengharungi sesi kelayakan pertama (Q1), sekali gus memberi lebih ruang untuk pasukan memperhalusi tetapan jentera.
Hakim Danish sebelum ini turut berdepan masalah cengkaman tayar ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi, namun usaha memperbaiki tetapan jentera bersama kru pasukan membantunya meningkatkan daya saing menjelang sesi kelayakan.
Kejayaan meraih petak ketiga itu juga merealisasikan hasratnya untuk memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, selepas menyatakan sasaran berkenaan sebelum sesi kelayakan berlangsung.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin sebelum ini berpuas hati dengan perkembangan dan ketenangan yang ditunjukkan Hakim Danish, terutama ketika berusaha mencari tetapan terbaik jentera di Sepang.
Prestasi tersebut turut menghidupkan harapan pelumba negara itu untuk meraih podium ketiga musim ini selepas mencatat dua keputusan podium di Mugello, Itali dan Brno, Republik Czech.
Bagaimanapun, cabaran utama Hakim Danish ialah mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan serta mengurus penggunaan tayar sepanjang perlumbaan di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.
Kelebihan bermula dari barisan hadapan dijangka membantunya mengelakkan kesesakan kelompok pertengahan pada awal perlumbaan, selain membuka peluang untuk bersaing merebut kedudukan podium.
Perlumbaan utama Moto3 Grand Prix Malaysia dijadual berlangsung pada jam 11 pagi esok dengan tumpuan penyokong tempatan tertumpu kepada kemampuan Hakim Danish memanfaatkan petak ketiga untuk mencipta keputusan cemerlang di laman sendiri.







