KUCHING: Tebingan Kuching mula dipenuhi orang ramai seawal 7 pagi semalam bagi memeriahkan sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis tersebut, suasana meriah dan warna-warni juga boleh dilihat di Rumah Etnik di Tebingan Kuching semalam.
Rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum memperagakan pakaian tradisional masing-masing sempena sambutan Minggu Perpaduan.
Antara kaum yang membuat pameran di sini termasuklah kaum Bidayuh, Bugis, Cina, Dusun, Iban, Jatti Miriek, Kadazan, Kayan, Kedayan, Kenyah, Lun Bawang, Melanau, Melayu, Murut, Orang Asli, Rungus dan Vaie.
Lebih menarik, mereka menyahut cabaran untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records untuk dua kategori iaitu peserta paling ramai memakai pakaian etnik dalam satu program dan penyertaan kumpulan etnik paling banyak dalam pameran kebudayaan.
Menjelang jam 11 pagi semalam, seramai 2,175 individu yang memakai pakaian etnik mereka telah menyertai cabaran untuk rekod ‘Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik dalam Suatu Acara’, dengan pengiraan berakhir pada jam 3 petang.
Pada acara tersebut, ia disertai bukan sahaja golongan dewasa malah, ada di antara mereka adalah kanak-kanak dan warga emas.
Turut serta dalam acara tersebut adalah wanita Bidayuh yang memakai gelang tembaga di lengan dan betis yang dikenali sebagai Ring Lady.
Selain itu, orang ramai termasuk warga asing turut mengunjungi dan memeriahkan acara itu.
Terdahulu, Majlis berkenaan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah di atas limpah perkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023 di Kuching Waterfront pagi semalam.
Majlis penuh warna-warni yang bertemakan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.





