ARTIKEL

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar fail: Sven Hoppe/dpa) | BERNAMA

220 Kematian Disyaki Akibat Ebola Di DRC, WHO Beri Amaran Wabak Menular Lebih Pantas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan pada Isnin bahawa wabak Ebola yang menular pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) menyebabkan 220 kematian disyaki, ketika pegawai kesihatan bergelut untuk mengekang epidemik berkenaan, lapor Xinhua.

Walaupun 101 kes disahkan dan 10 kematian disahkan direkodkan, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata skala sebenar adalah jauh lebih besar. “Kini terdapat lebih 900 kes disyaki dan 220 kematian disyaki,” kata Tedros pada Taklimat Maya Peringkat Menteri mengenai Wabak Ebola Bundibugyo pada Isnin.

Wabak itu, yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa pada 17 Mei, turut merebak ke Uganda, yang mencatatkan lima kes disahkan dan satu kematian.

Tedros menekankan cabaran kritikal: kelewatan dalam mengesan wabak itu bermakna pasukan kesihatan kini terpaksa mengejar masa dengan epidemik yang bergerak sangat pantas. “Kami sedang mempertingkatkan operasi dengan segera, tetapi pada masa ini, epidemik ini bergerak lebih pantas daripada kami,” katanya.

Strain Ebola yang terlibat ialah virus Bundibugyo, yang mana belum ada vaksin atau terapeutik yang diluluskan. Wabak melibatkan strain ini sebelum ini hanya berlaku dua kali — di Uganda (2007) dan DRC (2012). WHO mengesyorkan agar keutamaan diberikan kepada dua antibodi monoklonal untuk ujian klinikal.

Memburukkan lagi krisis, wilayah Ituri dan North Kivu yang terjejas kini dibelenggu masalah keselamatan yang meruncing serta ketidakpercayaan komuniti. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pertempuran yang sengit menyebabkan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal, selain dua insiden keselamatan berlaku di fasiliti kesihatan pada minggu lepas.

WHO menaikkan penilaian risiko kebangsaannya kepada “amat tinggi”, manakala risiko serantau kekal “tinggi” dan risiko global “rendah”. Negara jiran digesa untuk mengambil tindakan segera.

Tedros dijadualkan melawat DRC bersama pengarah kecemasan WHO, sebagai komitmen agensi itu untuk menghentikan wabak itu. “Keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum ia bertambah baik,” akuinya. “Tetapi kita mengenali virus ini dan kita tahu bagaimana untuk menghentikannya.” – BERNAMA-XINHUA

BERITA LAIN

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

BERITA TERBARU