KUCHING: Sebanyak 222 kumpulan mengambil bahagian dalam acara perarakan sempena sambutan hari jadi Dewa Seng Ong yang dibawa keluar dari tokong sekitar jam 6.30 petang sebelum kembali semula menjelang 11 malam.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Sarawak Datuk Richard Wee berkata, perarakan ini akan melalui laluan yang telah dikhaskan dan berhenti untuk memberi penghormatan kepada dewa sebelum meneruskan perjalanan mereka.
“Tahun ini, jumlah penyertaan lebih kurang sama dengan tahun lepas. Pada mulanya, kami menjangka lebih ramai akan menyertai kerana Tahun Naga, tetapi ternyata penyertaannya masih tinggi,” katanya.

Beliau turut berkongsi mengenai dua naga besar yang mengambil bahagian dalam perarakan, iaitu naga sepanjang 280 kaki serta satu lagi naga khas berukuran 500 kaki yang ditempah dari Vietnam.
Menurutnya, usaha sedang dijalankan untuk memasukkan acara itu ke dalam kalendar pelancongan rasmi bagi menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Pelancongan, dan kami berharap acara ini boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan tahunan. Malah, sejak beberapa tahun lalu, kumpulan dari Sabah juga turut serta, dan saya berharap ia dapat berkembang menjadi acara bertaraf antarabangsa,” ujarnya.




