BINTULU: Tahap kesedaran mengenai penyakit Tuberkulosis (TB) terus diperkasa dalam kalangan kakitangan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menerusi penganjuran ceramah kesihatan yang dihadiri seramai 223 peserta di Auditorium Wisma Bintulu pada Rabu.
Ceramah bertajuk “Kesedaran Terhadap Penyakit Tuberkulosis (TB)” tersebut disampaikan oleh Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr. Lai Kah Sheng yang menekankan risiko penyakit berjangkit berkenaan serta kepentingan pengesanan awal dan rawatan segera.

Dr. Lai menjelaskan bahawa, TB boleh merebak melalui udara dan berupaya menjangkiti sesiapa sahaja selain menasihati peserta agar mengamalkan langkah pencegahan termasuk pemakaian pelitup muka di kawasan berisiko, memastikan pengudaraan yang baik dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Program tersebut turut memuatkan sesi soal jawab yang memberi ruang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai simptom serta kaedah rawatan TB selain panduan keselamatan di tempat kerja dan kediaman bagi mengekang penularan penyakit.
Selain pengisian ceramah, pameran berkaitan TB turut disediakan di ruang legar auditorium yang menampilkan pelbagai bahan pendidikan seperti poster dan brosur bagi memudahkan peserta memahami petanda penyakit serta prosedur mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.
Pihak BDA berharap inisiatif seumpama ini dapat meningkatkan kewaspadaan dan memperkukuh langkah pencegahan penyakit berjangkit dalam kalangan warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.






