BINTULU: Kesemua 23 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diluluskan di Sarawak pada 2024 kini siap sepenuhnya dan beroperasi, sekali gus memperkukuh akses digital serta membuka lebih banyak peluang kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan belia dan usahawan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi, berkata perkembangan itu amat menggalakkan apabila kemudahan NADI bukan sahaja mendapat sambutan penduduk setempat, malah dimanfaatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kaum serta komuniti usahawan.
Menurutnya, NADI berperanan sebagai pusat kemudahan internet – membantu masyarakat meningkatkan kemahiran digital, selain menyediakan platform kepada usahawan mengembangkan perniagaan secara dalam talian.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke NADI Kampung Assyakirin, di sini, hari ini.
Julaihi berkata perkembangan itu selari dengan matlamat penubuhan NADI dalam menyediakan kemudahan digital kepada masyarakat, termasuk mewujudkan ruang pembelajaran untuk golongan muda serta membolehkan penduduk kampung memanfaatkan akses internet.
NADI turut berpotensi menjadi pemangkin perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi kemudahan internet dan sokongan digital yang membolehkan produk tempatan dipasarkan ke pasaran lebih luas.
Katanya, kira-kira 20 usahawan di kawasan itu menggunakan kemudahan NADI, termasuk produk Monanie Family Enterprise yang menarik perhatian menerusi inovasi pembungkusan belacan dalam bentuk ketulan kecil yang lebih praktikal berbanding kaedah biasa.
Menurut Julaihi, pendekatan inovatif dalam pembungkusan produk tradisional bukan sahaja meningkatkan daya tarikan, malah berpotensi membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa.
Produk berkenaan juga sudah dipasarkan ke Singapura, sekali gus menunjukkan potensi besar yang boleh diterokai usahawan tempatan melalui pendigitalan dan strategi pemasaran lebih kreatif.
Dalam pada itu, Julaihi menggalakkan JKKK dan komuniti setempat memainkan peranan memastikan kemudahan NADI dimanfaatkan secara optimum, bukan sahaja untuk tujuan pendidikan dan akses internet, tetapi juga sebagai platform memperkasa ekonomi digital masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, NADI Kampung Assyakirin yang terletak di kawasan tengah Kampung Assyakirin Fasa 1 turut memberi perkhidmatan kepada penduduk Kampung Assyakirin Fasa 2 dan Fasa 3.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan penggunaan kemudahan berkenaan berpotensi menyebabkan ruang sedia ada tidak lagi mencukupi pada masa hadapan.
Sekiranya kadar penggunaan terus meningkat dan terdapat keperluan sebenar untuk menambah ruang, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan cadangan memperluaskan pusat berkenaan.
“Perkara ini perlu dibincangkan antara pihak pengurusan NADI, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Telekom Malaysia sebagai pengendali.
Julaihi berkat,a beliau akan membawa cadangan itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, untuk penelitian lanjut berhubung kemungkinan memperluaskan ruang NADI Kampung Assyakirin.



