KUCHING: Seramai 250 pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan kelengkapan persekolahan asas menerusi Program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menjelang sesi persekolahan baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam menyokong agenda pendidikan dan kebajikan masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar yang memerlukan.
“Sumbangan yang disalurkan merangkumi keperluan asas persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis, pakaian seragam dan kasut,” katanya ketika berucap pada Program Ceria Ke Sekolah Parlimen Petra Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, program itu telah dilaksanakan sejak 2013 sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan syarikat berkenaan dalam mendekati komuniti setempat.
“Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB dan penganjurannya di Petra Jaya kali ini adalah yang pertama di Sarawak,” katanya.
Beliau menjelaskan pemilihan Sarawak sebagai lokasi program adalah signifikan meskipun urusan pembekalan tenaga di negeri ini berada di bawah Sarawak Energy dan Syarikat SESCO Berhad (SESCO), sekali gus membuktikan keprihatinan TNB terhadap kebajikan komuniti tanpa mengira sempadan operasi.
“Program ini memilih penerima yang benar-benar layak memandangkan jumlah bantuan adalah terhad.
“Saya dimaklumkan penerima dikenal pasti oleh tiga cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, bantuan seumpama itu amat penting bagi memastikan pelajar dapat meneruskan persekolahan tanpa tercicir, selain menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaan program berkenaan turut mencatat sejarah sebagai inisiatif CSR pertama TNB di Sarawak hasil kerjasama strategik antara TNB, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Petra Jaya serta PBB Cawangan Tupong, Samariang dan Satok.
“Kerjasama ini mencerminkan usaha bersepadu antara sektor korporat, wakil rakyat dan komuniti setempat dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan sosial di peringkat akar umbi.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Sarawak pada masa hadapan selaras dengan aspirasi melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing, berpendidikan dan sejahtera,” ujarnya.



