GEDONG: Kerajaan Sarawak mengagihkan 256 tangki air kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Jumaat.
Pegawai Daerah Gedong, Tamida Daadi dalam satu kenyataan media berkata, penyerahan tangki air ini adalah untuk memastikan penduduk luar bandar mendapat kemudahan asas yang lebih baik, khususnya dalam mendapatkan bekalan air bersih.
“Tangki air yang diterima dapat membantu mereka menyimpan bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutamanya bagi mereka yang berdepan masalah bekalan air tidak stabil.
“Usaha ini selari dengan komitmen untuk memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,”katanya.
Kampung Sabang, Kampung Sungai Alit, Kampung Sungai Labi, Kampung Sungai Tegelam, Kampung Tegelam, dan Kampung Tanjung Tanglong adalah antara kampung yang menerima sumbangan ini.
Bantuan ini diserahkan oleh Tamida Daadi kepada ketua kaum dan ketua masyarakat yang mewakili setiap kampung terpilih dan disaksikan oleh Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong, Datuk Seri Mohd Naroden Majais.


