MARCELLA NATHASIA
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menerima 790 permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) sejak pelaksanaannya pada 1 November 2022 hingga 30 April 2026.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 258 permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat telah diluluskan dengan pengeluaran sijil DSITKS kepada kanak-kanak terbabit.
“Insiatif DSITKS ini membolehkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata, bagi tempoh 2024 hingga 8 Mei 2026, sebanyak 314 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah diterima dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Peringkat Negeri Sarawak.
Menurutnya, JKKSK di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak terus berfungsi secara efektif bagi mempercepatkan proses pertimbangan permohonan kewarganegaraan.
“Ini merangkumi tumpuan kepada urusan verifikasi permohonan, fasilitasi proses permohonan dan pengemukaan syor kepada JKKSK di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya,” jelasnya.
Tegasnya, kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan setiap kanak-kanak yang berdepan isu dokumen pengenalan diri.
“Kementerian mengambil pendekatan menyeluruh, proaktif dan berperikemanusiaan bagi memastikan kanak-kanak terbabit mendapat hak serta perlindungan sewajarnya,” ujarnya.
Beliau menambah, perkara berhubung pengiktirafan anak kepada bapa warga Sarawak sebagai anak Sarawak melalui pemberian penunjuk ‘K’ dalam kad pengenalan akan dijawab secara bertulis.
“Dalam hal ini, Kementerian menyeru semua Ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama membantu menyampaikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan perkahwinan yang didaftarkan secara teratur mengikut peruntukan undang-undang.
“Usaha ini penting agar tiada lagi anak-anak kita berdepan dengan isu kewarganegaraan serta status sebagai anak Sarawak pada masa hadapan,” tegasnya.



