26 hospital tangani novel koronavirus

KUCHING: Sebanyak 26 hospital seluruh negara dikenal pasti untuk mengendalikan kes-kes disyaki dijangkiti novel koronovirus yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kejadian kluster jangkitan novel koronovirus di Malaysia dipandang serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tatacara pengendalian kes-kes disyaki yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah pun dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti virus ini,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya, semalam.

Beliau menambah, Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu merupakan hospital rujukan bagi kes-kes yang disyaki dan disahkan positif dijangkiti virus ini di Johor.

“Sekalung penghargaan kepada semua petugas kesihatan terutamanya di lapangan yang sedang bertungkus-lumus memastikan kejadian kluster jangkitan virus ini dapat dikawal.

“Terima kasih juga kepada semua pihak swasta yang memberi kerjasama yang baik demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam rakyat terpelihara,” ujarnya.

Suara Sarawak