KUCHING: Sebanyak 26 klinik luar bandar bakal menerima manfaat menerusi program Menaik Taraf Fasiliti Kesihatan di Klinik-Klinik Kesihatan Desa Sarawak melibatkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.
Program kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang meliputi kesemua 12 bahagian di seluruh Sarawak itu menyalurkan bantuan peralatan perubatan asas bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Menurut Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, sebagai syarikat yang komited terhadap pembangunan masyarakat khususnya di Sarawak, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi peluang memainkan peranan dalam meningkatkan taraf hidup komuniti melalui Program Impak Sosial.
“Kami berasa sangat bertuah kerana ditemukan dengan rakan kerjasama, SABATI, yang bersama percaya bahawa kesihatan merupakan asas kesejahteraan dalam setiap komuniti,” kata Norazibah.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Simbolik Penyerahan Peralatan Perubatan Asas kepada Klinik Kesihatan Santubong yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, hari ini.
Sementara, sempena sambutan ulang tahun ke-50 Petronas tahun ini, pihak Petronas menyediakan pelbagai program khas bersama rakan-rakan strategik dan masyarakat sejak awal tahun dan kemuncanya pada hujung Julai hingga Ogos ini.
Antara program yang akan datang menurutnya termasuk Larian Orchid di Bintulu pada awal Ogos, dengan semua kutipan yuran bakal diderma kepada empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Persatuan Thalassaemia Sarawak, Wad Jagaan Khas di Hospital Bintulu, dan Persatuan Buah Pinggang Sarawak.
Sejak tahun lalu, Petronas mengagihkan peralatan perubatan kepada pelbagai klinik termasuk Klinik Kesihatan Nanga Mujau di Betong, dan pada tahun ini untuk Klinik Kesihatan Sadong Jaya di Samarahan serta Klinik Kesihatan Medamit di Limbang.
Empat lagi klinik iaitu Klinik Kesihatan Lawas, Klinik Kesihatan Lubok Antu, Klinik Kesihatan Simunjan dan Klinik Kesihatan Balingian dijangka menerima peralatan perubatan pada tahun ini.
Manakala, baki 18 klinik disalurkan secara berperingkat menjelang 2025.



