SIBU: Seramai 26 penghuni Rumah Rebah, Nanga Tutus dekat sini hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.
Ketua Bomba Zon 4 Sibu PgKB I Andy Alie berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.52 pagi.

Susulan itu, jelas beliau yang juga komanden operasi berkata, seramai 14 anggota bomba berserta sebuah jentera FRT, EMRS dan pacuan empat dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan rumah struktur tidak kekal dan melibatkan tujuh pintu berkeluasan 130×60 kaki persegi terbakar 90 peratus.
“Namun, tiada melibatkan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (Ahad).
Andy berkata, anggota bomba telah
membuat pemadaman menggunakan 2 aliran 400 kaki tiga semburan sumber air terbuka dari sungai berdekatan.
Api dapat dikawal tiga minit selepas semburan pertama, ujarnya.
“Pusat sehenti pasca insiden dibuka di tempat kejadian.
“Melalui maklumat saksi, api bermula terbakar dari bilik no.2 di bahagian dapur,” katanya lagi.





