ARTIKEL

Gangwon buru kemenangan tanpa bolos, waspada ancaman The Cats

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gangwon FC menyasarkan kemenangan tanpa bolos ke atas Kuching City FC bagi memperkukuh peluang mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pada aksi keempat Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, malam esok.

Penolong Ketua Jurulatih Gangwon FC, Park Yong-ho berkata, pasukan dari Korea Selatan itu tidak memandang ringan cabaran skuad The Cats, terutama kerana skuad tuan rumah akan beraksi di hadapan penyokong sendiri selepas tewas 1-0 di Stadium Gangneung, minggu lalu.

“Sasaran utama kami ialah mencatat kemenangan tanpa bolos kerana matlamat pasukan ialah untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

“Kami tahu Kuching City mempunyai beberapa pemain berkualiti dan kali ini kami akan melakukan persiapan taktikal yang lebih rapi untuk menghadapi mereka,” katanya menerusi penterjemah pada sidang media praperlawanan, di sini, hari ini.

Menurut Park, Gangwon memberi perhatian khusus kepada beberapa tonggak Kuching City termasuk pemain berjersi nombor 10, 11 dan 24 yang dikenal pasti mampu mengancam benteng pertahanan pasukannya.

Penolong Ketua Jurulatih Gangwon FC, Park Yong-ho, pada sidang media praperlawanan menentang Kuching City, di sini, hari ini.

“Pemain nombor 10 mempunyai kawalan dan hantaran bola yang baik, selain bijak mencari ruang untuk melakukan gerakan berbahaya.

“Kami juga bersedia menghadapi pemain nombor 24 dan 11 yang mempunyai kemampuan menjaringkan gol, malah menjangkakan Kuching City akan memberikan tekanan lebih tinggi berbanding pertemuan pertama,” jelasnya.

Mengulas kelebihan gelanggang lawan, Park mengakui sokongan penyokong tempatan mampu meningkatkan semangat pemain Kuching City, namun percaya pengalaman barisan pemainnya dapat membantu mereka mengharungi tekanan itu.

“Apabila wisel permulaan dibunyikan, pemain kami akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan. Kami juga mempunyai ramai pemain berpengalaman yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dan situasi,” katanya.

Dalam pada itu, Park mengesahkan Gangwon akan memilih pemain berdasarkan tahap kecergasan susulan jadual padat yang menyaksikan pasukan itu turut beraksi dalam saingan Liga Korea Selatan (K-League).

Menurutnya, walaupun Gangwon bakal berdepan Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan domestik hujung minggu ini, tumpuan pasukan tetap diberikan kepada pertemuan menentang Kuching City.

Sementara itu, Park turut mengesahkan penyerang Gangwon, Abdallah Hleilhel tidak menyertai rombongan ke Kuching susulan isu berkaitan kewarganegaraan Israel dan sekatan kemasukan ke Malaysia.

Terdahulu, Gangwon menewaskan Kuching City 1-0 hasil jaringan Choe Byeong-chan menerusi rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Kang Joon-hyuck pada aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Gangneung, Korea Selatan.

Pertemuan timbal balik yang dijadual bermula pada jam 8.15 malam esok menjadi peluang penting buat Gangwon memburu kemenangan kedua ke atas The Cats, sekali gus memperkukuh kedudukan dalam perebutan tiket ke pusingan kalah mati.

BERITA LAIN

Pertahan 47 kerusi PBB, 82 kerusi GPS

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memburu kemenangan di kesemua 47 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak ke-12, kata Timbalan Presidennya, Datuk

BERITA TERBARU