BINTULU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak mengesahkan semua 264 pekerja asing yang diperiksa dalam operasi inspektorat di beberapa premis sekitar Sungai Pileran, Belaga memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) Noron Yusup bersama Pasukan Tindakan Khas (PTK) JIM Sarawak itu memberi tumpuan kepada semakan ketulenan dokumen, kesahan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta pematuhan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, pekerja yang diperiksa melibatkan warga Malaysia, Indonesia dan China, manakala pihak pengurusan premis memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang pemeriksaan dijalankan.
Jabatan itu menegaskan pemeriksaan dan operasi berkala akan terus dipertingkat di semua sektor pekerjaan termasuk kawasan pedalaman bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang imigresen serta menjaga keselamatan dan integriti negeri.



