BINTULU: Seramai 30 murid Islam di SJK (C) Siong Boon menerima sumbangan ‘duit raya’ daripada ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, hari ini sempena Aidilfitri.
Johnny Pang berkata sumbangan kecil itu diharap dapat menceriakan murid serta menyemarakkan semangat perayaan.
“Ini tanda ingatan agar anak-anak turut merasai kemeriahan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan duit raya di sekolah berkenaan.
Menurutnya, Sarawak terkenal dengan keharmonian kaum serta saling menghormati kepelbagaian agama dan budaya.
Tambahnya, perkongsian kegembiraan musim perayaan mampu mengeratkan hubungan komuniti dan memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.






