KUCHING: Sebanyak 30 regu akan bersaing bagi memburu gelaran juara dalam Kejohanan Sepak Takraw 2023 anjuran Belia Kampung Kuala Medalam, Limbang.
Pengerusi kejohanan Jamery Siga memberitahu, himpunan regu bertanding mewakili pelbagai kelab sekitar Limbang, Lawas dan negara Brunei Darussalam.
Menurut Jamery, kejohanan yang berlangsung pada esok, akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Medalam, Limbang.
“Kita menjangkakan saingan begitu sengit sepanjang sehari kejohanan berlangsung kerana turut membabitkan regu dari Brunei,” ujar Jamery kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, format kejohanan adalah kalah singkir dan setiap regu wajib dibarisi empat orang pemain, di samping kiraan terbaharu 15 mata.
“Regu yang berjaya merangkul gelaran juara akan membawa pulang wang tunai RM350.
“Sementara naib juara akan menerima wang tunai RM250, dan dua regu yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing membawa pulang wang tunai RM150 selaku pemenang tempat ketiga bersama,” tambahnya.



