KUCHING: Sambutan Gawai Dayak di Sarawak tahun ini akan menyaksikan satu lagi acara besar apabila 3,000 peserta melibatkan 91 kontinjen akan menyertai perarakan ‘Niti Daun’ Sabtu ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata, perarakan itu akan diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Festival Gawai Dayak 2023.
Menurutnya, perarakan Niti Daun itu akan mempersembahkan kepelbagaian serta keunikan budaya masyarakat Dayak di Sarawak.
“Saya percaya dengan adanya perarakan ini, ia bakal menarik perhatian pelancong asing melalui persembahan pakaian tradisional masyarakat Dayak di Sarawak.
“Pada masa sama, ia juga akan menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa yang kebetulan berada di Kuching pada ketika itu,” kata Sikie dalam sidang media Acara Niti Daun sempena Gawai Dayak di Bangunan Baitulmakmur 1, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga persembahan kebudayaan akan dipersembahkan oleh kumpulan Bidayuh, Orang Ulu dan Iban semasa perarakan tersebut.
Menariknya, Sikie turut menjelaskan bahawa ada dua lagi kontinjen dari luar Sarawak akan menyertai perarakan tersebut iaitu masyarakat Dusun dari Sabah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa peraturan pemakaian pada tahun ini akan lebih ketat serta teliti dan peserta dinasihatkan untuk memakai pakaian yang sesuai dan tidak menjolok mata semasa perarakan.
Beliau turut menambah, buat julung kalinya, perarakan juga akan mengadakan pertandingan antara kontinjen bagi merebut peluang untuk memenangi hadiah wang tunai RM10,000.
“Ini semasa perbarisan… mereka akan dinilai berdasarkan pakaian tradisional, persembahan perbarisan dan kriteria lain,” katanya.
Perarakan Niti Daun pertama kali diadakan di Kuching pada 1993, kemudian diadakan pada 2018. Acara ini juga diteruskan di beberapa bahagian dan daerah di Sarawak sehingga hari ini.
Di samping itu, beliau memaklumkan, perarakan ini akan bermula pada jam 2.15 petang di bangunan Tun Jugah dan akan berarak sejauh 1.2 kilometer di Tebingan Kuching berhampiran Jambatan Darul Hana.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menasihatkan peserta supaya kekal terhidrat semasa cuaca panas dan membawa botol air serta menyediakan payung sekiranya hujan.
“Jika anda tidak sihat pada hari itu, saya nasihatkan supaya anda tidak menyertai perarakan itu dan yang paling penting sekali, sila tepati masa,” katany



