KUCHING: Sebanyak 303 kes melibatkan pertikaian dan pampasan pengambilan tanah dengan nilai keseluruhan RM19.2 juta didaftarkan di Mahkamah Bumiputera Sarawak setakat ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, Bahagian Limbang mencatatkan bilangan kes dan nilai pampasan tertinggi dengan 80 kes bernilai RM9.3 juta.
“Sebanyak 63 kes bernilai RM1.2 juta dicatatkan di Bahagian Sri Aman diikuti Bintulu yang merekodkan 30 kes bernilai RM2.8 juta manakala Kapit mencatatkan 28 kes dengan nilai anggaran RM3 juta.
“Bahagian Mukah turut merekodkan 28 kes dengan nilai RM718,000. Seterusnya sebanyak 24 kes didaftarkan di Betong dengan nilai RM424,000, dan Sibu mencatatkan 17 kes bernilai RM581,000.
“Bahagian Kuching pula merekodkan 11 kes dengan nilai RM423,000 dan Miri mencatatkan 11 kes melibatkan nilai RM217,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bukit Semuja, John Ilus berhubung bilangan kes serta nilai pampasan tanah yang direkodkan oleh Mahkamah Bumiputera Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Selain itu ujarnya, Bahagian Sarikei mencatatkan sembilan kes dengan nilai keseluruhan RM69,000, manakala Serian dan Samarahan masing-masing merekodkan satu kes bernilai RM230,000 dan RM153,000.
Menjawab soalan tambahan, beliau memaklumkan bahawa sejak 2008 hingga Oktober 2025, sebanyak 157 kes pampasan tanah dengan nilai keseluruhan RM12.5 juta selesai dibicarakan dan disalurkan kepada pihak terlibat.
“Bahagian Limbang terus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 43 kes melibatkan pampasan bernilai RM8 juta diikuti Bintulu dengan 21 kes bernilai RM1.8 juta.
“Bahagian Sri Aman menyelesaikan 18 kes bernilai RM234,000 manakala Betong merekodkan 21 kes dengan pampasan RM226,000 dan Kuching mencatatkan tujuh kes dengan nilai RM365,000,” ujarnya.
Katanya lagi, Bahagian Samarahan merekodkan satu kes bernilai RM153,000 manakala Sarikei menyelesaikan lapan kes dengan nilai RM46,000. Sibu dan Mukah pula masing-masing merekodkan 12 kes dengan pampasan RM450,000 dan RM124,000.
“Di Bahagian Kapit sebanyak 10 kes diselesaikan dengan nilai RM1 juta manakala Miri mencatatkan empat kes bernilai RM67,000,” jelasnya.
Sementara itu ujarnya, masih terdapat 146 kes pampasan tanah yang belum diselesaikan dengan nilai anggaran RM6.7 juta.
“Kes-kes tertunggak itu merangkumi proses semakan dokumen, penilaian, verifikasi maklumat pemilikan tanah serta urusan pentadbiran antara agensi sebelum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Tempoh perbicaraan yang lazimnya memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan bagi setiap kes tertangguh disebabkan kekurangan majistret di Mahkamah Bumiputera Daerah serta kekerapan permohonan penangguhan oleh peguam kedua-dua pihak,” tambahnya.



