MIRI: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan umat Islam di Sarawak agar mengutamakan perpaduan dan tidak terjebak dengan perbalahan politik yang tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
Sebaliknya, beliau menyeru umat Islam mendekatkan diri kepada al-Quran dan ajaran agama sebagai landasan dalam membangunkan Sarawak menjadi wilayah maju, makmur dan sejahtera.
“Janganlah kita mencaci antara satu sama yang lain, sibuk dengan politik yang tidak membina dan tidak manfaat.

“Kita doakanlah dalam penghijrahan kita ia akan memberikan kejayaan kepada seluruh umat dan juga kepada seluruh masyarakat.
“Kita selalu diingatkan bahawa lahirnya nabi kita adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh umat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Abang Johari turut menyeru umat Islam di Sarawak agar memperkukuh penguasaan ilmu, teknologi dan kemahiran baharu bagi memastikan mereka dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
Katanya, dunia kini berdepan perubahan besar yang dipacu kemajuan teknologi, dengan transformasi ekonomi global kini beralih kepada industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengubah kaedah pembangunan ekonomi yang diamalkan sebelum ini.
Beliau menambah dunia juga sedang melalui peralihan tenaga daripada penggunaan bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih bersih bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam konteks ini, Abang Johari berkata Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi baharu dunia melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan teknologi hijau.



