ARTIKEL

Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah. FOTO: RAMIDI SUBARI

315,106 pemegang KGC terima pelbagai kemudahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendigitalan Kenyalang Gold Card (KGC) menjadi pemangkin utama kemudahan perkhidmatan untuk warga emas, susulan pelancaran maya secara automatik melalui SarawakPASS sebaik sahaja mencapai usia 60 tahun.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pendigitalan KGC bukan sekadar penambahbaikan sistem.

“Pendigitalan ini bukan sekadar penambahbaikan sistem, tetapi bertujuan memudahkan warga emas menikmati kemudahan KGC,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Selari dengan agenda pendigitalan perkhidmatan awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah melancarkan kad KGC maya semasa Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Mengenai Penuaan (SICA).

Setakat ini, KGC telah memberi manfaat kepada seramai 315,106 pemegang KGC yang layak menikmati pelbagai kemudahan dan diskaun daripada 1,140 rakan niaga strategik di seluruh Sarawak.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti memulakan langkah awal merangka dasar dan pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan warga emas melalui kajian dan persidangan bertaraf antarabangsa.

Kajian bertajuk ‘Research on Preparation for an Ageing Sarawak: The Profile of and Ageing Issues of Older Persons in Sarawak’ membabitkan seramai 6,094 responden berumur 55 tahun dan ke atas, serta 396 orang informan dalam kumpulan berfokus.

“Kajian tersebut telah dimulakan pada 1 Oktober 2024 dan disiapkan sepenuhnya pada 30 Ogos 2025 bertujuan meningkatkan kesejahteraan warga emas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, SICA 2025 yang dianjurkan pada tahun ini berjaya menghimpunkan seramai 539 peserta, 18 pakar tempatan dan 11 pakar antarabangsa.

Pelbagai sesi diadakan termasuk pembentangan ucaptama, sesi pleno, sidang selari serta forum yang meneroka pelbagai perspektif mengenai penuaan.

“Kementerian bercadang mengambil tindakan susulan berpandukan kajian dan resolusi SICA 2025, bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas, mengurangkan jurang perkhidmatan dan memastikan pembangunan inklusif untuk generasi hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, Fatimah menegaskan komitmen kementeriannya dalam memperkasa kesejahteraan warga emas melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi pembangunan komuniti, pendigitalan perkhidmatan, akses kepada rawatan kesihatan serta pembangunan kapasiti penjaga.

Mengulas lanjut, Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuhkan sebagai pusat komuniti aktif yang memastikan warga emas kekal produktif dan terlibat dalam masyarakat.

Manakala, usaha memperkukuh kesejahteraan warga emas turut disokong melalui pelaksanaan Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) untuk manfaat penjagaan kesihatan kepada 208,336 warga emas yang layak di seluruh Sarawak melalui akses rawatan tanpa tunai di 263 fasiliti kesihatan berdaftar.

Di samping itu, turut diadakan pelbagai program kesedaran dan pencegahan serta penjagaan demensia dengan memberi tumpuan kepada kesedaran awal, gaya hidup sihat, latihan penjaga, saringan kognitif serta sokongan komuniti bagi mengurangkan risiko dan kesan demensia.

TAMAT

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha