GERRALD GILLES
KUCHING: Sejumlah 3,160 permohonan Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) berjumlah RM30.56 juta telah diluluskan dari tahun 2022 hingga Mac 2026.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kadar kelulusan memberangsangkan mencerminkan permintaan tinggi serta keberkesanan HDRAS sebagai intervensi bersasar bagi meningkatkan akses pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama di Sarawak.
Bagi pembiayaan rumah Mutiara, beliau berkata, 2,491 permohonan dengan jumlah peruntukan kewangan sebanyak RM211.76 juta dari tahun 2016 hingga Mac 2026.
“Sebanyak RM128.95 juta telah disalurkan kepada 1,803 pembeli rumah pada kadar faedah tahunan 1 peratus bagi kumpulan B40 dan 3 peratus bagi kumpulan M40,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Bagi Rumah Spektra Mutiara (RSM)-Program PBT, Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Mutiara akan melaksanakan projek perintis di Bahagian Samarahan melalui Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) sebagai fasa awal.
Katanya, projek tersebut kini berada di peringkat tender, melibatkan kira-kira lapan pemohon.
“Projek perintis itu bertujuan menguji operasi, proses teknikal dan mekanisme pembiayaan sebelum diperluaskan ke seluruh Sarawak, melibatkan rumah satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi menyediakan kediaman selesa serta praktikal.” katanya.



