KUCHING: Seramai 33 kakitangan Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) berjaya menamatkan Kursus Bahasa Mandarin Profesional dan Teknikal selama 14 minggu, sekali gus memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan bagi menyokong pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Inisiatif menerusi Program Pembangunan Peningkatan Sosioekonomi (SEED) itu memberi tumpuan kepada penguasaan komunikasi dalam persekitaran kerja teknikal bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dengan pakar antarabangsa yang terlibat dalam projek KUTS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, kejayaan peserta menamatkan kursus tersebut mencerminkan komitmen syarikat melahirkan tenaga kerja kompeten dan bersedia menghadapi keperluan industri pengangkutan moden.
Kursus yang bermula Februari lalu itu dianjurkan hasil kerjasama antara kontraktor Pakej Sistem 1 KUTS, EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd (EMGJV), bersama Professional Continuous Excellent Learning (ProCEL), Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program tersebut merupakan kesinambungan Kursus Mandarin Asas, dengan penekanan kepada penggunaan bahasa dalam situasi sebenar di tempat kerja.
Kurikulum turut disesuaikan untuk meningkatkan keupayaan peserta berkomunikasi secara lebih efektif dengan pakar OEM dan tenaga kerja luar negara dalam pembangunan sistem Transit Rapid Autonomi (ART) di bawah projek KUTS.
Pada majlis sama, Jurutera Sistem, Jabatan Sistem Komunikasi, Amealy Liony Tom dan Jurutera, Jabatan Sistem, Jaminan dan Keperluan, Dayangku Nur Maisarah Awangku Hishamuddin menerima Anugerah Peserta Terbaik sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang sepanjang kursus.
Sarawak Metro memaklumkan kursus ini antara inisiatif pembangunan modal insan di bawah Program SEED yang bertujuan mempercepat pemindahan pengetahuan, memperkukuh kompetensi teknikal dan memastikan pelaksanaan Projek KUTS berjalan lancar dengan sokongan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.



