TANJUNG MANIS: Seramai 34 siswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyertai program keluarga angkat selama tiga hari di sini.
Kesemua mereka diagihkan mengikut keluarga angkat masing-masing di Kampung Jerijeh, Rajang dan Belawai sejak 21 November lalu sebelum diraikan dalam Majlis Makan Malam di Dewan Masyarakat Belawai, semalam.
Majlis turut dihadiri, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Sehubungan itu Len Talif yang juga ADUN Kuala Rajang berkata, pelajar yang menyertai program itu bertuah kerana bukan sahaja berpeluang menimba pengalaman baharu tetapi juga mengendali budaya dan adat resam masyarakat di kawasan berkenaan.
Malah ujarnya, kehadiran peserta secara tidak langsung mengukuhkan hubungan dan interaksi sosial generasi muda dan komuniti setempat melalui sikap saling memahami antara satu sama lain.

“Saya berharap pengalaman yang diperoleh di sini, menggalak dan memupuk pembudayaan semangat kesukarelawan dalam diri pelajar selain, menjadikan mereka individu prihatin, bertolak ansur dan bekerjasama.
“Justeru, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran semua pelajar dan semoga program ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang bermakna kepada semua,” katanya.
Program selama tiga hari itu bertujuan memberikan pengalaman berharga kepada pelajar, sekali gus merapatkan hubungan dengan komuniti setempat
Peserta tidak hanya berpeluang mendalami budaya dan gaya hidup komuniti setempat, tetapi juga berinteraksi secara langsung dengan keluarga angkat masing-masing.
Hadir sama Ketua Program, Prof Awangko Hamdan Pengiran Arshad dan Dr Hakimi Halim.



