Turun padang dedahkan warga emas kampung kepada inisiatif KGC

MUKAH: Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat kampung tentang inisiatif kerajaan Sarawak iaitu Kenyalang Gold Card (KGC), Adun Tellian Yusibnosh Balo bersama-sama dengan ahli -ahli ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tellian turun padang mendekati warga emas menerusi program Sentuhan Kasih yang dirasmikan Sabtu lalu.

Menurut Yusibnosh Balo, program tersebut ialah merupakan satu usaha beliau untuk mendedahkan kepada masyarakat kampung mengenai bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan Sarawak kepada warga emas ini.

“Kebanyakkan masyarakat kita malu untuk pergi ke pejabat untuk membuat pendaftaran KGC ini dan melalui rakan-rakan kita daripada cawangan PBB N57 Tellian kita mengadakan pelancaran dari rumah ke rumah supaya mereka yang ketinggalan dengan KGC ini tahu akan kehadiran kita.

“Seterusnya mereka akan mula bertanya kepada jiran-jiran mereka mengenai program yang kita ada usahakan dan mereka akan sedar dan mengetahui kelebihan KGC ini,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Sarawak.

Beliau turut berharap melalui program Sentuhan Kasih berkenaan warga emas yang ada di kawasan Mukah dapat pergi ke pejabat-pejabat pusat khidmat khasnya untuk cawangan Tellian, disamping ahli-ahli PBB Cawangan Tellain juga akan pergi ke kampung-kampung dan di dewan-dewan untuk mendaftarkan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas ini.

“Sehingga kini untuk majlis pelancaran hari ini kita telah pergi ke setiap 14 buah rumah dan kita dapati ada beberapa warga emas yang turut sama kita daftarkan bersama, dan kita telah berjaya daftarkan lebih 20 orang warga emas ini.

“Untuk pengetahuan juga program ini berada luar daripada program insurans yang mereka miliki,sekiranya mereka memiliki insurans dan socso mereka tidak dapat didaftarkan di bawah KGC, kerana mereka dilindungi dibawah insurans tersebut,” ujarnya.

Jelasnya di dalam KGC tersebut mereka yang tidak mempunyai insurans akan daftarkan dibawah kerajan negeri Sarawak.

Dalam program berkenaan setiap ahli ahli PBB Cawangan Tellain yang terlibat telah turut padang bersama-sama Yusibnosh pergi ke setiap rumah bagi membantu mendaftarkan warga emas bagi inisiatif KGC tersebut.

Yusibnosh turut berkesempatan menghulurkan bantuan kepada warga emas yang ditemui di Kampung Tellian Ulu, dan difahamkan juga program Sentuhan Kasih berkenaan akan diteruskan untuk beberapa hari sehingga lengkap semua warga emas berjaya didaftarkan melibatkan Kampung Tellian Ulu, Kampung Tellian Tengah, Kampung Kuala Lama dan Kampung Petanak.

Di kawasan Tellian sendiri seramai lebih 70 warga emas akan di lawati dalam program Sentuhan Kasih berkenaan sambil membantu dalam mengisi borang KGC di setiap rumah.

Ahli-Ahli PBB membantu mengisi borang KGC.

Suara Sarawak