Jalan tikus mudahkan penceroboh

KUCHING: Laluan tikus atau jalan masuk haram menjadikan rakyat asing mudah menceroboh Sarawak untuk mencari pekerjaan dan sebagai saluran melakukan aktiviti penyeludupan haram. Ahli Dewan Negeri Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, kekurangan pintu masuk kastam, imigresen dan kuarantin di beberapa kawasan yang terlibat akan menyebabkan sebarang lalu lintas bebas tanpa sebarang kawalan.

“Seperti di Serikin, jarak kawasan tersebut yang hanya tiga kilometer dari sempadan Indonesia memperlihatkan jumlah peniaga membuka gerai di pasar minggu di sana majoritinya dikendalikan orang Indonesia,” jelasnya.

“Ketiadaan pintu masuk Kastam dan Imegresen di sana menjadikan orang Indonesia bebas masuk ke kawasan tersebut sehingga mewujudkan keadaan berbahaya khususnya kepada penduduk setempat,” katanya semasa perbahasan usul penghargaan atas ucapan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Henry Harry juga memohon kepada Kerajaan Sarawak agar mewujudkan Agensi Pembangunan Wilayah Selatan bagi memberi penekanan agresif terhadap pertanian dan pelancongan di kawasan masyarakat Bidayuh.

“Kawasan tersebut mempu-nyai potensi dan peluang yang besar untuk dibangunkan menjadi hab pertanian dan pelancongan disebabkan oleh lokasinya yang strategik.

“Hal ini akan mempercepatkan pembangunan di kawasan tersebut terutamanya di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) dan Pelabuhan Tanah Tebedu.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian diwujudkan di kawasan Dun Tasik Biru.

“Pusat yang dicadangkan perlu dilengkapi sistem penyejukan dan infrastruktur lain yang memudahkan pengumpulan produk dilakukan dan dieksport ke negara lain. Hal ini memandangkan kawasan Bau hanya mengambil masa sejam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jadinya tidak akan ada isu kelewatan, dan seterusnya hasil segar dapat dieksport langsung kepada pelanggan antarabangsa,” katanya lagi.