MANILA: Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang menggegar pantai selatan Mindanao, Filipina pada Isnin menuntut sekurang-kurangnya 47 nyawa, lapor agensi berita Xinhua. Menurut kenyataan Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Khamis, insiden itu turut menyebabkan 31 orang hilang dan 688 yang lain mengalami kecederaan.
Data daripada NDRRMC menunjukkan bahawa bencana tersebut telah menjejaskan lebih 75,300 isi rumah atau melebihi 346,000 penduduk. Daripada jumlah berkenaan, lebih 45,000 mangsa dilaporkan kehilangan tempat tinggal, manakala melebihi 12,600 buah rumah mengalami kerosakan struktur.
Agensi berkenaan turut memaklumkan bahawa bencana itu menjejaskan operasi infrastruktur penting, termasuk 45 laluan jalan raya, lapan struktur jambatan, sebuah lapangan terbang, dan dua pelabuhan.
Selain kemusnahan fizikal, sektor pertanian, penternakan, serta perikanan turut terkesan teruk akibat gempa tersebut.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memaklumkan gempa bumi tektonik itu berlaku pada 7:37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer (km) dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di wilayah Sarangani di Pulau Mindanao.- Bernama-Xinhua



