35.4 tan metrik bahan buangan dikumpul

KOTA SAMARAHAN: Sejumlah 35.4 tan metrik bahan buangan elektrik dan elektronik dikumpul oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak di bawah kempen pengumpulan e-waste. Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu berkata, JAS melaksanakan program pengumpulan tersebut di Metrocity Matang pada 3 Oktober lalu.

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan menyasarkan pengumpulan buangan e-waste sebanyak 200 metrik tan di seluruh negara bagi tahun 2020.

Jelasnya, kempen itu diadakan di seluruh negara bermula 23 September sehingga 21 Oktober 2020 dengan penetapan sebanyak 63,000 kg e-waste seluruh negara dan 5 metrik tan seluruh negeri.

“Kempen pengumpulan e-waste tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah 130 metrik tan e-waste dari seluruh negara dan dijangka terus meningkat.

“Pada hari ini, program diteruskan di Institut Perguruan Kampus Tunku Abdul Razak (IPGKTAZ) sempena Hari Alam Sekitar Negara dan di Bintulu pada 7 hingga 8 November.

“Program pengumpulan e-waste ini mendapat perhatian Kerajaan Sarawak dan dikembangkan ke seluruh negeri pada tahun hadapan dengan kerjasama Lembaga Sumber Alam Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dan Kerajaan Sarawak,”kata Berahim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Sarawak 2020 di sini, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, satu usaha yang perlu diusahakan oleh masyarakat ialah penghijauan bumi bagi menangani penurunan khazanah hutan tropika di Malaysia.

Jelasnya, penurunan tersebut menjejaskan kestabilan ekosistem, kawasan tadahan air dan kelastarian sumber air serta stok karbon untuk mengimbangi perubahan iklim.

“Usaha menanam pokok merupakan wajar dipertingkatkan selaras dengan seruan Perdana Menteri untuk merealisasikan Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok dalam tempoh empat tahun.

“Program disasarkan ini mampu menyumbang 50 peratus kawasan berhutan dan berjaya mengurangkan suhu global,” tambahnya.

Suara Sarawak